Bidara Tak Berduri – Kupasan Lirik

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera Warga Sajakiri..

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Komposer Zainal Zulia kerana sekali lagi memberikan kepercayaan kepada saya untuk menulis lirik dalam lagu beliau.

Yang kedua, terima kasih kepada seluruh Warga SV yang menyokong dan memeriahkan komuniti ini. Yang ketiga, jom layan lagu terbaru dari Sajakiri..

 

Bidara Tak Berduri

Dimanakah Kunci..Pintu-Pintu Ilham?
Ingin Aku Terbang Mencari Jawapan
Yang Membawa Aku Hampir Kepadamu
Dan Memujuk Waktu Untuk Menungguku

Mungkinkah Kau Sedang Menanti
Di Pohon Bidara Yang Tidak Berduri
Episod Terakhir Dalam Hidup Ini
Tak Akan Sempurna Andai Kau Tiada

Dimanakah Aku..Berdiri Menunggu
Di Ketika Waktu Tiada Penghujung
Dan Mungkinkah Aku Akan Bersamamu
Di Episod Akhir Dalam Hidup Ini

Dimanakah Kunci..Pintu-Pintu Ilham?

Lagu : Zainal Zulia
Lirik : Shah Aspura
Artis : ???

Sebenarnya lagu ini menceritakan tentang harapan seseorang untuk bertemu dengan bidadari. Seseorang itu bertanya pada dirinya..bagaimana dia boleh berjumpa dengan bidadari? Sedangkan bidadari itu berada di Syurga.

Walaupun sering terdengar kisah-kisah tentang bidadari, tapi dia masih tidak dapat membayangkan keindahan wajah bidadari itu, walaupun dalam khayalannya yang tertinggi. Dan adakalanya dia terfikir adalah mustahil untuk orang sepertinya bertemu bidadari.



Verse

 

 “Dimanakah Kunci..Pintu-Pintu Ilham?”

Dia merasakan dirinya sudah terlalu jauh dari Jalan Ke Syurga. Dia buntu mencari jawapan. Bila terkenang dengan dosa-dosa lalu, dia merasakan seolah-olah tiada lagi Pintu Syurga yang akan terbuka untuknya.

Namun hati kecilnya masih berharap agar diberi petunjuk. Dan hatinya tertanya-tanya dimanakah letaknya kunci yang dapat membuka pintu-pintu Ilham.

 

 “Ingin Aku Terbang Mencari Jawapan”

Andai terbuka pintu-pintu Ilham itu, pasti dia akan meneroka seluruh lautan Ilham itu untuk mencari jawapan tentang segala persoalan yang bermain di minda.

Dia ingin tahu jawapan kepada segala rahsia dan misteri. Dia ingin mencari jalan yang benar. Terlalu banyak jalan sehingga dia keliru untuk memilih jalan yang mana satu.

 

 “Yang Membawa Aku..Hampir Kepadamu”

Dia ingin mencari jalan yang akan membawanya bertemu dengan bidadari. Dia berharap akan bertemu jalan singkat yang akan membawanya kembali ke jalan yang benar setelah tersesat. Atau sekurang-kurangnya membawanya selangkah lebih dekat.

 

 “Dan Memujuk Waktu..Untuk Menungguku”

Dan dia juga ingin tahu, bagaimana dia ingin berlari mengejar waktu. Kerana dia tahu dia telah banyak membakar waktu. Dia juga sedar bahawa dia tidak tahu berapa banyak lagi masa yang tinggal untuknya. Dia cuma berharap agar diberikan kesempatan sebelum segalanya berakhir.

 

Kesimpulan : 

Secara ringkasnya, verse lagu ini menceritakan tentang Seorang Pendosa yang sedang buntu untuk mencari Jalan Ke Syurga.


Korus 1

 

Mungkinkah Kau Sedang Menanti..Di Pohon Bidara Yang Tidak Berduri”

Kadang-kadang pendosa itu terfikir, kalaulah bidadari itu telah ditakdirkan untuknya..dimanakah bidadari itu sekarang?

Adakah kemungkinan bidadari itu sedang menunggunya di Pohon Bidara Yang Tidak Berduri?

Kerana pohon bidara yang tidak berduri ada disebut di dalam surah Al-Waqiah..

“Apabila Bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung-ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya. Maka jadilah ia debu yang berterbangan. Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu(beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga).
(Al-Waqi’ah : 4 – 10)

“Mereka berada di atas pelamin-pelamin yang bertatahkan emas dan permata.Mereka bersandar di atasnya dengan saling berhadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang sentiasa muda.”
(Al-Waqiah : 15 – 17)

“Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana mutiara yang tersimpan baik. Sebagai balasan kepada apa yang mereka kerjakan.
(Al-Waqi’ah : 22 – 24)

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Mereka berada di antara
pohon bidara yang tidak berduri.”
(Al-Waqi’ah : 27-28)

 

“Episod Terakhir Dalam Hidup Ini..Tak Akan Sempurna Andai Kau Tiada”

Episod terakhir yang saya maksudkan ialah episod terakhir perjalanan hidup manusia. Secara ringkasnya..perjalanan kita bermula dari Alam Roh – Alam Rahim – Alam Dunia – Alam Kubur – Hari Kiamat – Hari Perhitungan – Episod Terakhir([email protected]).

Ada 2 kemungkinan saja yang akan terjadi pada Episod Terakhir. Hidup terseksa di Neraka atau Bahagia Selamanya di Syurga.

Kadang-kadang terlintas juga di hati pendosa ini bahawa dia mungkin akan menjadi penghuni Syurga. Bukan itu saja, dia masih mampu untuk mengatakan bahawa Syurga itu tidak sempurna jika tiada bidadari.

 

Korus 2 

 

“Dimanakah Aku Berdiri Menunggu..Di Ketika Waktu Tiada Penghujung”

Ketika ini, hatinya kembali takut bila terkenangkan dosa-dosanya. Dia terfikir bagaimanakah keadaannya ketika dibangkitkan selepas mati. Dimanakah dia akan menunggu menanti jawapan?

Sudah tentu dia terpaksa mengharungi satu jangkamasa yang sangat lama. Dimana ketika itu, waktu seperti tidak bergerak bagaikan tiada penghujung.

 

“Dan Mungkinkah Aku Akan Bersamamu..Di Episod Akhir Dalam Hidup Ini”

Dan dia kembali tertanya, mungkinkah dia akan berjaya bertemu dengan bidadari impiannya setelah menempuhi satu perjalanan yang sangat jauh. Apakah dia akan berjaya melayakkan diri untuk menjadi golongan kanan yang akan berada di antara pohon bidara yang tidak berduri?

Sudah cukupkah bekalan yang dibawa untuk ditimbang di neraca?

 

“Dimanakah Kunci..Pintu-Pintu Ilham?”

Dan pendosa itu bertanya lagi..dimanakah kunci pintu-pintu Ilham? Sedangkan dia tahu, kunci pintu-pintu Ilham itu hanya ada pada Yang Maha Esa. Dialah yang memberikan Ilham kepada seorang guru, doktor, pelukis, pemimpin, arkitek, tukang masak dan seluruh umat.

Dengan Ilham itu, mereka melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat dunia.Dengan ilham itu mereka dapat membuka pintu-pintu rezeki. Dengan rezeki itu, dapat membuka pintu-pintu ilmu. Dengan ilmu itu, terbuka pintu-pintu pahala untuknya. Dan dengan pahala itu terbukalah Pintu-Pintu Syurga.

 

Konklusinya.

Lagu ini untuk pendosa-pendosa yang mengharapkan Syurga. Yang mahu mengejar, tapi tak mahu berlari. Yang mahu memiliki sesuatu, namun tak mahu membayar harganya. Dan hatinya sering berbolak-balik. Harapan dan ketakutan bercampur-baur. Hatinya ingin “meminang” bidadari..namun “hantaran”nya penuh dengan dosa-dosa.

Good luck kepada bakal peserta P3 yang akan menyanyikan lagu ini. Semoga artikel ini dapat membantu anda untuk menyampaikan lagu ini dengan lebih baik.

Sekian Terima Kasih.


Shah Aspura@Gamblerz-

     

Pos Berkaitan: