9 Tanda Anda Artis Amatur

Disklaimer : Artikel original di tulis di skinnyartist.com. Diolah semula di sini mengikut kefahaman saya sendiri.

 

Adakah Anda Artis Profesional, atau Amatur? 

Tidakiralah apa bidang artis anda; penulis, pelukis perekacipta laman web, pengarah filem, pelakon, pemuzik, pencipta lagu dan sebagainya, memang tidak mudah menjadi yang terbaik, atau profesional dalam bidang yang diminati.

Semua orang boleh mengakui dirinya profesional, tapi hanya diri anda seorang saja yang tahu. Bagaimana untuk tahu yang anda profesional atau amatur? Di sini saya sampaikan 9 tanda soalannya:

 

1- Adakah Anda Menantikan Inspirasi untuk mula berkarya?

Jika jawapannya ya, anda artis amatur. Mereka hanya mula berkarya hanya apabila punyai mood yang baik, ilham yang bagus dan segala peralatan telah tersedia sahaja.

Artis profesional tidak perlukan semua itu. Mereka akan berkarya secara displin dan istiqamah (sedikit tapi konsisten) setiap hari. Mereka tidak menantikan ‘tika sempurna’, atau ilham ‘sempurna’ untuk bermula. Mereka terima seadanya karya baik, atau buruk yang dihasilkan.

 

2 – Adakah Anda Berkarya untuk memenuhi masa?

Jika ya, anda artis amatur. Prioriti anda bukan untuk berkarya, hanya melakukan apabila ada masa terluang.

Artis profesional akan mulakan hari mereka dengan berkarya. Sejam pertama hanyalah ‘pemanas badan’. Dan mereka akan meluangkan masa yang lama, dan memberikan sepenuh jiwa dan raga untuk menyiapkan projek.

 

3 – Adakah Anda Mengharapkan ‘Anda Dijumpai?’

Jika ya, ini artis amatur. Mereka hanya membuat satu-dua karya, dan mengharap bakat mereka ‘dikesan’ oleh peminat.

Artis profesional sedar, berkarya hanyalah separuh daripada kerjaya. Mereka harus bersosial dengan mereka yang berkenaan, membuat jelajah dan promosi, menjalin hubungan baik dengan klien/peminat, mempunyai laman web yang baik (untuk artis masakini).

Dan mereka tidak ‘sayang’ pada karya sendiri dan terlalu personal, kerena mereka sedar ia akan ‘dijual’.

 

4 – Adalah Anda Selalu Menukar Fokus Anda, Sebelum Mencapai Matlamat?

Jika ya, ini adalah sikap amatur. Mereka selalu berubah fokus, dari bermain muzik, menjadi pelukis, dan menjadi pengarah filem. Mereka ingin bikin semua.

Ya, artis hebat seperti M Nasir boleh melakukan semua itu. Tapi beliau fokus pada satu bidang secara sepenuh masa dahulu, iaitu muzik.

Artis profesional akan memilih satu bidang displin yang paling dekat di hati terlebih dahulu. Dan fokus. Dan semestinya, mereka ini bereksperimentasi, tapi masih dalam konteks satu bidang sahaja.

 

5 – Adakah anda mengharapkan kejayaan dalamasa setahun dua ini?

Ini sikap amatur. Mereka mudah terpengaruh dengan artis YouTube seperti Justin Bieber atau Najwa Latif, yang popular ‘sekelip mata’.

Tapi artis profesional sedar, mereka perlukan masa yang lebih lama dari itu. Mungkin sepanjang hayat mereka. Ia seperti bekerja sebagai tukang kebun yang menghiasi taman. Ia adalah kerja jangkamasa panjang. Kalau ia ‘berjaya’ sekalipun, displin dan kerja keras haruslah diteruskan.

 

6- Adakah anda tidak perlukan jadual atau pengurusan masa?

Ini adalah sikap amatur yang malas. Mereka ‘orang seni’, kenapa perlukan jadual?

Artis profesional tahu mereka perlukan jadual harian yang spesifik untuk berkarya. Ini untuk mengurangkan gangguan supaya lebih fokus.

 

7- Adakah anda terlalu cerewet sehinggakan kerja tidak habis?

Ini sikap amatur ‘yang tersembunyi’. Mereka ingin mencipta karya sempurna dengan meng’edit’, padam semula, rakam balik, buat balik, dan sebagainya.

Artis profesional tahu berkarya adalah satu proses, dan ia tidak akan ‘sempurna’. Mereka akan menyiapkan karya mereka sebaik mungkin, dan sedar mereka akan tetap dikritik. Mereka tahu, lagi cepat mereka habis, lebih cepat mereka boleh mulakan karya baru.

Mereka ‘lepaskan’ (let it go).

 

8 – Adakah anda sibuk ‘sangat’ dengan belajar, hinggakan tidak berkarya?

Artis amatur menggunakan alasan ‘masih belum pandai, dan sedang belajar’ sebagai alasan tidak berkarya.  Mereka sibuk dengan membaca buku, menghadiri seminar, tapi gagal menghasilkan karya. Belajar adalah baik, tapi bukan ‘escapism’ untuk tidak berkarya.

Artis profesional tahu, mereka harus belajar tapi itu tidak menghentikan mereka untuk berkarya. Cara mereka belajar, adalah praktikal sekali, belajar dari kesilapan ketika menghasilkan karya. Mereka tahu ia satu proses seumur hidup.

Umpama belajar naik basikal; artis amatur belajar dengan cara membaca buku atau menghadiri seminar “Bagaimana Menaiki Basikal”. Artis profesional ‘terus’ mengayuh basikal, belajar apabila jatuh, dan terus bangun serta kayuh lagi dan lagi.

 

9 – Adakah anda TIDAK sertai komuniti artis tempatan anda?

Sebagai artis, kita juga sebagai penilai karya. Kita bukan saja mengenali karya orang lain, tapi juga harus bergaul dengan komuniti artis itu sendiri.

Jika kita penulis, kita baca penulisan orang lain. Jika kita pemuzik, kita dengar muzik orang lain. Jika kita artis visual, kita kaji lukisan atau fotografi artis lain. Kita buat semua ini bukan untuk mencemburui mereka, tapi melihat bagaimana perspektif lain, sekaligus meluaskan lagi skop kita.

Bukan saja itu, artis amatur selalunya bergerak sendirian, atau berasa rendah diri untuk berkenalan dengan artis profesional yang berpengalaman, dan sertai komuniti artis ini.

Artis profesional punyai kumpulan mereka sendiri, yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman, supaya mereka boleh belajar ‘hands-on experience’ terus dari mereka ini.

 

  
      

MARI SERTAI!