Akademi ZZ : Satu Amanah

Alhamdulillah, Akademi ZZ (AZZ) mencapai jualan RM XXX,000 pada 26 Jun, setelah bermula secarasmi pada 1 Jan 2021.

Aku mencapai jualan ini kurang 6 bulan.

Secara perbandingan, aku mencapai jualan yang sama ini pada 5 tahun pertama sejak aku mula mengajar sebagai tutor rumah, dari Jun 2006 hingga Jun 2011.

Jualan 5 tahun (tutor rumah) = Jualan 6 bulan (online tuisyen)

Aku berasa sayu dan insaf. Tak tahu mengapa.

Mengenangkan segala jerih perih, ke hulu ke hilir mengajar sana-sini, pada 5 tahun pertama itu.

Aku lakukan juga, kerana kecintaan aku pada matematik dan mengajar.

Aku sebenarnya sudah pasrah hidup aku takkan senang dan kaya.

Tapi kini, AZZ berjaya mengubah semua itu.

Covid-19 dan PKP membawa pertumbuhan peluang dalam tuisyen online. Kini pasaran ku adalah seluruh negara, berbanding tertumpu di Lembah Klang sahaja.

Alhamdulillah, duit bukan lagi masalah, atlis buat masa ini.

Apapun, ini bukanlah jaminan bisnes ini akan terus maju dan kekal maju ; masih ada kebarangkalian pasaran menjadi kembali kecil sebaik masalah Covid ini selesai kelak.

Apapun, aku kaut dulu buat masa sekarang, selagi berpeluang .

Duit Semata Adalah Kosong

Sepertimana aku beritahu di atas, aku mengajar atas dasar kecintaan ilmu, dan terima takdir jika tiada kejayaan material dengan memilih bidang ini.

Asalkan aku bahagia.

Dengan melihat akaun, projeksi, margin keuntungan, graf bagai, memang menyeronokkan (maklumlah, sedang naik kan).

Tapi seperti berasa kekosongan, jika terlalu fokus pada pertumbuhan semata.

Secara teori, aku boleh bersara dalam beberapa tahun lagi, mungkin buat bisnes lain, buat seni, melancong dan sebagainya.

Tapi terasa kosong. Kenapa?

Orang cakap, kita akan berasa gembira jika kita ada 2 ini : duit dan masa.

Aku tak nafikan, ini memang mengembirakan. Bodohlah jila tak mahu.

Cuma soalan ku : takkan ini saja?

Dari saat ini, aku mula memahami : AZZ adalah amanah.

Besar pengertian amanah ini.

Kejayaan kecil AZZ meraih jualan ini, menandakan kepercayaan dan pengharapan ibubapa untuk anak-anak mereka.

Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang besar.

Mereka bayar bukan untuk menjamin persaraan ku, tapi sebenar harapan dan ikhtiar mereka.

Ini menginsafkan aku, kerana aku terlalu fokus pada kehidupan yang aku mahukan – inilah sebabnya aku berasa kosong tadi.

Tapi bila aku fikirkan mengenai amanah; aku mulai berasa terisi dan bermakna, seolah ada misi besar mendidik anak muda masyakat.

Ini bukanlah retorik dan idealistik semata – memang aku hidup cari makan dengan idelogi sejak mula 2005 dulu pun.

AZZ Baru Bermula

Ini bukanlah bermaksud aku melupakan cita-cita persaraan ; aku masih mahukan ini.

Tapi ini bukan prioiriti utama.

Prioriti utama, adalah melaksanakan segala amarah dan tanggungjawab untuk AZZ ini.

Memastikan pengurusan, sistem, inovasi dan pertumbuhan adalah untuk kebaikkan masyarakat.

Aku tak perlu berfikir untuk buat bisnes lain: dimana ia menyebabkan aku lari fokus – aku hanya perlu menjaga AZZ ini saja.

Malahan, dengan set minda sebegini, aku sebenarnya menaikkan kadar kebarangkalian untuk AZZ kekal rekaan, bukan untuk musim PKP saja.

AZZ juga adalah tempat aku dan famili bergantung – juga amanah diri aku.

Kesimpulan

Macam aku tulis di atas, memilih jalan mengajar ini umpama memilih jalan yang tidak menjanjikan kejayaan kewangan – tapi kini dengan kuasa Tuhan ; aku masih berpeluang.

Alhamdulillah di atas peluang ini. Ini menjadikan karier ini sungguh bermakna :

1. Aku buat sesuatu yang bermakna untuk diri sendiri (mengajar matematik).
2. Membawa manfaat kepada masyarakat.
3. Kini dengan pasaran lebih besar.

Aku mahu mengakhiri dengan sebab yang sama semasa aku bermula : melakukan sesuatu yang bermakna.

Inilah amanahku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *