Mengapa Saya Teruskan Berkarya — Biarpun Tiada Siapa Pun Peduli?
Saya mula mencipta lagu sejak belasan tahun lagi, tubuhkan band—rakan demo—rakan single—buat persembahan semua itu.
Semua itu ketika kita muda remaja—tiada wang, tapi punyai tenaga, masa, impian dan harapan—sehinggalah memasuki alam dewasa—pekerjaan—rumahtangga dan anak-anak.
Kita terpaksa lupakan impian untuk menjadi anak seni, rock star kerana ini tidak realistik ; industri muzik kita kecil tapi penuh saingan membuatkan ia tidak praktikal untuk dijadikan kerjaya sepenuh masa.
Tapi kenapa saya masih berkarya?
Jawapan mudah—kerana saya gemar mencipta lagu dan berseni. Saya anggap ia hobi yang serius.
Tanpa aktiviti ini, saya berasa sebahagian daripada saya hilang.
Baik itu jawapan pendek.
Mari kita selami dan kipas lebih dalam mengapa saya terus berkarya—walaupun tiada siapa peduli.
1. Semangat Masih Ada
Biarpun sudah berkarya sejak 30 tahun lepas—semangat masih ada.
Sebenarnya, aktiviti paling bernilai adalah proses rakaman dan penerbitan itu sendiri.
Walaupun berseorangan sekarang, masih ada muzik di dalam hati.
Sebenarnya, sekarang lebih sesuai berkarya kerana ;
i) kita sudah ada kemampuan untuk membeli gajet dan perisian terkini, termasuk mengupah orang, dan
ii) kita ada lebih masa untuk berkarya.
Kini saya berusia 40-an, ada bisnes yang berjalan sendiri—jadi jalan sajalah.
Tapi bukan kerana itu pun—saya akan tetap curi masa, dan guna gajet murahan untuk berkarya, semasa muda dulu pun.
2. Sihat untuk Minda
Macam saya katakan tadi—berkarya ini adalah luahan jiwa—di mana anda akan berasa lega dan gembira apabila meluahkannya.
Proses berkreatif juga menyeronokkan—kerana anda dalam keadaan ‘flow’, iaitu apabila masa seolah terhenti dek kerana fokus ini.
Tak perlu lama—cukup dengan berkarya 30 minit sehari pun sudah memadai.
3. Karya sebagai Legasi
Setiap karya ada cerita dan sejarahnya tersendiri: umpama diari kehidupan kita pada satu-satu masa itu.
Apabila anda merekodkannya, anak cucu cicit akan lebih mengenali dan ‘memahami’ anda sebagai moyang mereka.
Jadi, sebenarnya tidak sia-sia pun anda berkarya ini—pastikan ia sudah siap (bukan sekadar demo lagi) dan muat-naik ke Spotify.
Anda juga boleh hubungi saya untuk penerbitan muzik.
4. Boleh buat Ujibakat atau Kolaborasi
Siapa tahu, dengan berkarya dan poskan di media sosial, anda akan menarik ramai kenalan baru. Sekaligus meramaikan bakat yang akan boleh anda berkarya dengan lebih baik.
Ini terjadi pada saya; saya menemukan bakat baru dengan menganjurkan Sajakiri—Vokal sehingga terhasilnya konsertnya sendiri.
Di samping karya diterbitkan hasil kolaborasi dengan mereka ini semua. Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut mengenai Sajakiri—Vokal dalam sesi berlainan.
5. Berpotensi Meraih Pendapatan:
Saya akui, untuk menjadi anak seni sepenuh masa adalah sukar di masa ini. Berapa sangatlah royalti, atau peluang untuk buat konsert berskala besar ini ada.
Dengan kemajuan internet, sebenarnya ada 1001 cara untuk buat duit ; anda boleh jadi produser muzik, guru vokal, arenjer muzik, pemuzik/vokalis upahan, pereka gambar/video, cikgu gitar dan sebagainya.
Peluang ini tidak mudah dikecapi; tapi jika anda tekun dan rajin berusaha, anda boleh menjadi seperti Syahir, sahabat saya yang menjadi produser musik separuh masa, dengan hanya mengendalikan studio rumah saja.
Dengarkan temubual saya bersamanya.
6. Anda Tak Perlukan Jutaan Peminat Pun.
Anda pernah baca tulisan Kelly tentang ‘1000 fans’? Ringkasnya; anda hanya perlukan 1000 peminat setia (atau pelanggan yang membayar) untuk hidup sepenuh masa sebagai musisi.
Memang, tujuan kita berkarya adalah ikhlas, tapi untuk mencapai 1000 peminat setia bukanlah terlalu mustahil dalam kemudahan teknologi masa kini.
Siapa tahu karya anda bisa menyentuh 1000 hati insan ini? Memang tidak mudah dan ambil masa—tapi ia boleh jadikan sasaran dari awal. Anda takkan dapat ini—selagi belum berkarya.
7. Belajar Mengenai Teknologi
Kita boleh belajar mengenai perisian Digital Audio Workstation (DAW) terkini, serta alat fizikal seperti pemuka audio (audio interface).
Ia agak kompleks dan renyah ; tapi jika anda berminat berkarya, ini adalah pengalaman menyeronokkan.
Anda akan hargai kemajuan teknologi yang canggih dan pantas ini .