Setelah aku mendengar karya adunan ku dan adunan profesional (dari JD) dalam Spotify, memang ada jurang ketara ; adunanku sembab (muddy) berbanding adunan JD yang lebih cerah dan jelas.

Tapi keseimbangan bunyi adunan ku memang baik ; vokal jelas di depan, dan jelas dan semua instrumentasi padat di tengah.

Memang seimbang.

Cuma yang membuatkan ia berbunyi sembab adalah daripada KETIDAKSEIMBANGAN FREKUENSI. Ini terjadi kerana aku tak dapat mendengar dengan jelas beberapa tahap frekuensi daripada monitor bagiku serta lantunan bunyi di bilik ku.

Aku sudah pun lakukan rawatan akustik, dengan meletakkan span di sekitar dinding bilik ku, demi menyerap lantunan ini.

Apapun, ia masih belum mencapai kesempurnaan; masih ada frekuensi yang tidak jelas didengari. Ini adalah ‘titik buta’ bagi aku.

Lalu aku ada termenonton video ini :


Michael Wynne ini mengenalkan aku tentang aplikasi Sonarwork Reference 4 ini, dimana dengan menggunakan alatan mikrofonnya, kita akan dapat mengenalpasti titik buta frekuensi monitor bunyi dalam bilik kita.

Sekaligus dengan ini, perisian ini akan membetulkan ia dengan mencadang ‘Equalizer’ khas untuk kita, dan kita akan dapat mendengar kembali frekuensi terlindung selama ini.


Seolah terbuka hijab yang tertutup selama ini. Ataupun lebih ringkas, memakai cermin mata buat pertama kali untuk pertama.

Bagaimana ia membantu aku?

Bila kita dapat mendengar keseluruhan frekuensi ini, kita akan dapat menilai bagaimana untuk mengadun (mixing) dengan lebih baik mengikut sesedap rasa.

Berbanding sebelum ini, aku mengadun dalam keadaan ‘separa-buta’ menjadi mutu adunan ku sub-par, sangat amatur. Aku mula meragui kemampuanku, dan selera sendiri.

Kini aku lega, attis kini aku boleh membentuk ‘bunyi’ ku sendiri.

Penafian : Ini tidaklah bermaksud, adunan ku akan terus berbunyi profesional serta-merta, semestinya banyak lagi latihan diperlukan.

Umpama sebelum ini aku bermain bola di padang penuh lopak dan lumpur ; sekadar dapat bermain di padang cantik dan rata tidak menjanjikan aku jadi pemain handalan.

Kenapa Ini Penting?

Menjimatkan : oleh kerana aku punyai karya lagu yang banyak, membayar pengadun profesional untuk projek hobi
adalah agak membebankan.

Ini kerana projek ku adalah untuk hobi saja, tidak mendatangkan pendapatan pun.

Minat : aku sedari aku punyai visi tersendiri bunyian yang aku idamkan. Dengan pengadun profesional pun, aku selalu meminta mereka ikut selera aku.

Bebas Berkarya : Jadi aku boleh berkarya mengikut kata hati sendiri, tanpa ada kekangan kewangan ataupun orang lain. Lagu ciptaan aku banyak, dengan kebolehan mengadun sendiri, aku boleh melatih mendengar lebih cekap.

Marilah pakai ini, jika anda benar serius dalam produksi muzik.