Post Image
By Zainal ZuliaJuly 4, 2021In Peribadi

Hijrah 2023 : IPOH?

Sejak aku berjaya menguruskan pusat tuisyen online, Akademi ZZ (AZZ) ini, menjadikan lokasi tidak lagi merupakan faktor penting dalam mencari makan.

Adakah aku terlalu yakin yang kelas online ini akan ada permintaan sampai bila-bila (selepas PKP ini sekalipun)?

Aku tidaklah yakin 100% ; cuma aku berasa, walau apa sekalipun (pasca-Covid), aku TIDAK AKAN lagi mengajar di jalanan (tuisyen rumah, mahupun pusat tuisyen fizikal).

Maksudnya, jika aku tidak bermigrasi sekalipun, aku tidak mahu lagi mengajar di jalanan.

Dalam talian sepenuhnya – berpindah atau tidak.

Aku ada sedikit pengetahuan teknik pemasaran di internet, disamping pasaran yang lebih luas (serata pelusuk tanahair), digabung dengan pelajar yang sudah terbiasa dengan pembelajaran online ini.

Digabungkan semua faktor di atas, insyallah kebarangkalian aku bertahan mengajar dalam talian itu, meningkat tinggi.

Gali lagi: katakan kurang permintaan sekalipun, aku boleh bubarkan pusat tuisyen online ini, dan kembali mengajar bersendirian (seperti sebelum ini), tak perlu lagi bayar pekerja lain.

Insyallah masih mampu meraih pendapatan bulanan 5 angka.

Demi persiapan ini, walaupun dapat jualan dan keuntungan 6 angka sekarang, aku cuba untuk hidup bersederhana, dan mengumpul sebanyak mana dana tunai.

Malahan aku akan tetap membaca, berinovasi dan memikirkan bagaimana AZZ boleh bertahan untuk jangka masa panjang.

Cukuplah cerita mengenai sekuriti.

Mengapa penjelasan panjang lebar?

Ini bukan sekadar untuk menyedapkan hati, tapi juga untuk menggali lebih dalam strategi praktikal.

Kerana migrasi ini bukan sekadar berpindah saja : ia adalah mengenai PERSARAAN.

Persaraan adalah proses rumit dan mencabar. Aku mungkin berimpian tinggi (ambitious) untuk mencapai ini dalam umur setahun jagung mengerjakan bisnes.

Apa yang membuatkan aku sebegini yakin?

Setakat hari ini 4 Julai 2021, AZZ secarasminya baru berusia 6 bulan. Tapi lebih kurang 40% tenaga kerja mengajar dan admin, telah aku serahkan kepada tutor dan kerani lain, dalam talian sepenuhnya.

Alhamdulillah, sistem ini berjalancar dengan jualan bulanan Jun paling banyak, dan minggu ini saja pun mencecah jualan mingguan tertinggi setakat ini.

Dan yang seronoknya, aku berasa tenang dan tidak terbeban (overwhelmed) langsung melayan beratus pelanggan, berbanding aku buat berseorangan dahulu.

Malahan, oleh kerana SOP aku yang jelas, sekarang juga aku boleh cari lagi seorang kerani, dan 2 tutor untuk menggantikan aku, dan semestinya aku boleh mula bersara.

Aku cuma tidak lakukan ini kerana aku sedang seronok bekerja sebagai kerani ‘belakang’ serta tutor addmath, dan aku sendiri mahukan gaji aktif daripada AZZ, serta mahu menjimatkan wang keluar syarikat.

Apapun, jika berterusan, persaraan ini tidak boleh dielakkan.

Hanya tunggu masa sahaja.

Persaraan di sini bukanlah bermaksud aku 100% berehat, ia cuma bermaksud aku tiada lagi penglibatan aktif harian ke atas bisnes.

Aku akan tetap kawalselia tunai, merangka strategi dan polisi, dan merekrut.

Ini kerja Sukuan 2 (Quadrant 2) : penting tapi tidak segera.

Baiklah mari kita kembali ke tajuk asal : Mengapa Ipoh.

Panjang ceritanya.

Pada Oktober 2013, aku ke Ipoh ke rumah adik perempuan aku, Aff. Ketika itu dia tinggal di apartmen kecil bersama suami dan 2 anak kecilnya.

Kami sempat menyambut hari jadi Runaysa yang pertama, anaknya yang kedua.

Ini pertama kali aku menginap di Ipoh (sebelum ini hanya singgah dalam perjalanan saja).

Ketika berjalan di Eropah dulu semasa muda, negara yang paling ku gemari adalah Switzerland. Ini kerana ia dikelilingi banjaran Alps, ladang dan tasik.

Ini sungguh mendamaikan.

Ipoh ada juga perasaan yang sama; ia dikelilingi banjaran bukit (bukan gunung-ganang) yang membentuk dinding ; seolah-olah kita berada dalam mangkuk.

Juga mendamaikan.

Kemudian Aff membawa kami ke Gunung Lang ; sekali lagi kami terpesona dengan ketenangan semulajadi di situ.

Ketika di Gunung Lang.

Secara ringkasnya, ia tidak sesak dengan kereta dan manusia.

Ini mendamaikan.

Adakah bandar lain di semenanjung Malaysia ada banjaran bukit sebegini?

Apapun, pengalaman ini membuatkan aku dan isteri Ija mula berangan ‘pindah Ipoh’, walaupun tiada asbab yang membolehkan kami berpindah ke sini lagi, ketika itu.

Tapi ia mencetuskan ilham untuk membeli rumah pertama di Subang Perdana, Shah Alam , Selangor.

Kini 2021

Pada asalnya, aku bukanlah bercadang mahu migrasi, sekadar mahu berpindah rumah. Ini kerana rumah di Subang Padang ini, agak kecil bagi seleraku (hanya 1400 kaki persegi).

Jadi aku mula berimpian untuk membeli rumah Semi-D ataupun banglo, tapi agak mahal harganya di Lembah Klang (LK)ini, dan julat RM 800,000 ke atas.

Secara teknikal, aku mampu saja, tapi aku mula berfikir; mengapa harus tinggal di Lembah Klang semata?

Jika bisnes tuisyen online aku ini berjaya, isteri aku boleh berhenti kerja, dan lokasi sudah tidak menjadi relevan lagi.

Lantas aku meluaskan lagi pencarian di luar Lembah Klang, seperti di Semenyih, Kuala kubu Baru, Kajang, Bangi, Kuala Selangor, Sepang, Cyberjaya dan Bukit Beruntung.

Ya, pilihan kali ini lebih baik, dan murah lah sedikit berbanding di Lembah Klang.

Lantas aku perbesarkan lagi pencarian ke negeri lain : Negeri Sembilan.

Ya, Seremban Dua punyai pilihan yang lebih murah, dan cantik juga.

Aku perasan yang Sepang/Semenyih tidaklah terlalu jauh dengan Seremban, tapi harganya cukup berbeda.

Lalu aku mengecilkan pencari aku ke Seremban Dua kerana faktor ini, disamping ia tidak terlalu jauh dengan Lembah Klang (sejam perjalanan).

Masuk: Ipoh

Mak aku mencadangkan Ipoh. Aku pada mula tidak begitu mengambil serius kerana berasakan ia jauh (2.5 jam perjalanan) dengan LK.

Pada 26 Jun 2021, sedang PKP ini, aku membawa anak ke Hospital Bainun untuk vaksin Pfizer keduanya.

Di sini aku menyedari, dengan tiada banyak kenderaan, kita boleh sampai dalam 2 jam saja dengan halaju sederhana 120 km/jam saja.

Di sini juga Khalis (suami adik aku) bawa aku berjalan di sekitar kawasan perumahan di Ipoh dan seolah seorang penjual, mengapa harus migrasi ke Ipoh.

Sekembalinya dari situ, aku mula menggali lebih dalam mengapa Ipoh menjadi pilihan (setakat 4 Julai 2021).

Mendamaikan
Alasan ini mungkin tidak penting kepada sesetengah orang, tapi sangat penting untuk aku – Aku berjiwa seni dan halus, selalu berasa rimas di keramaian

Ipoh bukanlah pilihan ramai orang muda untuk membina kerjaya, kerana peluang pekerjaannya yang terhad. Bukan bandar inovasi, kata Khalis.

Ini menjadikan bandar ini tidak akan menjadi sesak, atlis dalam masa jangka hayat ku.

Ipoh ini sesuai untuk orang tua yang ingin bersara, kata Khalis lagi.

Wah, ini memang profil ku.

2 – Ipoh bukan bandar kecil
Aku dan Ija dibesarkan di Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Jika kami berpindah ke Kuantan ataupun Kota Bharu, bandar-bandar ini kecil dibandingkan Ipoh.

Kata mak, Ipoh adalah bertaraf bandaraya, bandar ke-3 terbesar di Malaysia.

Jadi kami tidaklah berasa terlalu kekok nanti. Seakan sama dengan bandar asal kami.

3 – Kos Sara hidup yang rendah berbanding LK.
Jika dimurahkan rezeki, pendapatan kami sama (atau mungkin lebih) ketika di Shah Alam, jadi bila tinggal di Ipoh, insyallah lebih berasa mudah untuk bernafas menyara keluarga.

4 – Tak jauh manapun dengan LK.
Ibubapa kami masih di LK, kawan dan saudara mara semua. Jika sekadar nak berjalan balik hari pun, tiada masalah.
Hanya 2 jam perjalanan.

⑤ Lokasi strategik Untuk Melancong.
Orang suka LK kerana banyak tempat berjalan seperti KLCC – Aku sebagai orang jati sini, berasa bosan kerana aku tak minat pergi ke kompleks membeli belah kerana keramaian manusia.

Berbanding Ipoh, aku berasakan ia benar berada di tengah-tengah semenanjung; ia dekat dengan Tanah Tinggi Cameron, Taiping, Pulau Pangkor, Pulau Pinang, Pulau Banding, Langkawi dan sebagainya.

Ini semuanya hanya dalam sejam dua perjalanannya. Ia bukanlah dekat sangat juga, tapi jika dibandingkan dengan LK – tambah 2 jam perjalanan.

Pusat pelancongan ini memang masih menjadi tumpuan keramaian, tapi ia adalah berteraskan semulajadi, berbanding kompleks ciptaan manusia.

⑥ Dekat dengan adik beradik.
Aff-Khalis punyai 4 anak dan 2 anak pertama kali adalah anak susuannya.

Insyallah mereka semua akan lebih rapat.

Aff dan Khalis (anak jati Ipoh) lebih berpengetahuan dalam bandar Ipoh: tempat makan, minum kopi, perkelahan, perpustakaan dan sebagainya, adalah aset ilmu untuk kami.

Kebetulan, adik aku lagi seorang, Yah di Butterworth, boleh juga turun Ipoh (atau kami naik ke Butterworth). Hanya sejam perjalanan.

Mak nak aku pun ada juga berasa teruja untuk ikut pindah hehe.

7 – Rumah idaman tapi lebih mampu
Rumah idanmku, Semi-D ataupun banglo adalah berharga rumah teres tengah saja di LK.

Rumah luas penting untuk aku.

Kesimpulan

Apapun, aku harus menunggu lagi 2 tahun ; 2023 kerana bank mahu melihat kestabilan bisnes dalam tempoh ini.

Apapun aku sendiri juga perlukan masa sebegini, untuk sebab yang sama juga; memastikan kestabilan AZZ ini.

Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan menentukan.

Boleh saja jadi besok lusa aku bertukar fikiran.

Aku sengaja menulis panjang lebar sebegini, untuk kefahaman dan tatapan sendiri, untuk aku melihat perspektif sendiri dari tempat berlainan.

Terimakasih kepada yang sudi membaca sehingga habis.

svgSonarWork Reference 4
svg
svgMengapa Teruskan Berkarya, Walaupun Tak Kemana?

Leave a reply